dewasa

    
Bersendirian kadang lebih enak bagi sesetengah manusia tapi pada aku, rasa sunyi tu harus diselang seli dengan aktiviti melepak untuk menghilangkan rasa kosong. Betul ada masanya aku bersama kawan jugak cuma seorang dua jela yang rajin mengajak aku lepak. Payah jugak sebenarnya hidup sendiri di tempat yang jauh dari orang yang aku sayang; masa yang ada aku habiskan berbaring di atas katil, cuba cuba mesej awek lama dengan harapan dia balas "hey" aku, sambil layan flyfm, ataupun keluar cari kedai kelip kelip beli rokok sebatang lepastu lepak kedai celup tepung, layan.

Ah tak ramai yang perasan sebenarnya bagaimana rasanya menjadi dewasa. Aku tak rasa susahpun dari segi material semua lengkap, malah aku dah mula menerima Terengganu ni sebagai tempat aku menimba ilmu; pantai yang tak pernah jemu menghempas pasir dan batuan, kadang laut hadiahi aku air yang tenang dan jika kau tenung mata aku pada waktu itu, mungkin kau akan nampak pantulan cahaya merah matahari samar samar, itupun kalau kau bertuah. Dan banyak lagi yang tak perlu rasanya aku gariskan dalam entri ni.

Kalau ikut dewan bahasa, dewasa dikaitkan dengan masa, bila kau matang dari segi pengalaman dan pengetahuan, ataupun bila kau berumur 21 ke atas. Wow, kalau dikira kira saing saing aku sudahpun dewasa! Tapi untuk aku pakai dalam hidup aku, dewasa ni bila kau berjaya uruskan perasaan kau sendiri. Bukan senang untuk aku terima keadaan aku sekarang, keadaan yang sentiasa mengharapkan orang ambil kisah tentang diri aku, keadaan yang kau rasa takda orang boleh bersama kau bila kau susah, keadaan yang kau memerlukan sokongan daripada seorang yang faham keadaan kau dan keadaan yang kau rasa sampai bila kau nak berdosa. Tapi aku tak boleh samakan diri aku dengan manusia yang masih lagi dipantau oleh keluarga, sebab nanti aku akan cemburu dengan kebahagian diorang. Jadi aku bandingkan cerita cerita anak pungut dan manusia yang hidupnya payah. Barulah aku rasa bersyukur dengan apa yang aku ada bukan?

Sekarang aku rasa diri aku masih dalam proses menjadi dewasa, memotivasikan diri sendiri setiap hari tanpa ada lagi ucapan "pagi" ataupun "jaga diri" daripada sesiapa dan ketika ni aku baru sedar, untuk berubah aku tak perlukan sesiapa pun untuk ulang ulang lontarkan kata kerja berbentuk tegahan dalam ayat ayat larangan untuk aku berhenti daripada itu dan ini. Aku cuma perlu tundukkan diri aku dan siksa jiwa aku ikut cara yang Tuhan dah ajar dan nasihat yang diberi oleh kekasih-Nya. Sekalipun aku lupa, aku masih ada pewaris agama yang sangat aku hormati. Sekiranya aku masih lagi lupa, biarkan jela aku mati bersama ego aku.

Betul, semunya aku perlu lakukan sendiri.

Comments

entri yang popular

tak boleh

cubit pipi kau

Stop

faham tak